Komuniti Pulau Panjang – Jambatan Penantian Seratus Tahun dan Tragedi Takbai

Terjemah oleh Shintaro Hara

Peristiwa berdarah di depan Balai Polis Tak Bai pada 25 Oktober 2004 amat terkenal sebagai satu titik hitam dalam sejarah Patani di selatan Thailand. Namun, di sebalik peristiwa tersebut, masih ada kisah yang tidak pernah diceritakan atau diketahui umum yang berkisar di sebuah jambatan yang menghubungkan Bandar Tak Bai dan Pulau Panjang, iaitu sebuah pulau kecil yang terletak di kuala Sungai Tak Bai. Sila ikuti laporan khas tentang pengalaman para penduduk di Pulau Panjang di sebalik peristiwa tersebut.

Komuniti Pulau Panjang dalam Perubahan – Sebuah kisah yang tidak pernah diceritakan dari Tabal/Tak Bai

Kampung Pulau Panjang (Koh Yau dalam bahasa Thai), Mukim Chehe, Daerah Tak Bai, Wilayah Narathiwat merupakan sebuah komuniti di atas pulau kecil yang dikelilingi oleh Sungai Tak Bai dan Sungai Golok di kuala yang berhampiran dengan Laut China Selatan. Pada zaman dahulu, penduduk pulau ini menggunakan perahu sebagai satu-satunya kenderaan untuk keluar dari pulau berkenaan.

Wirun Ayariha, ketua kampung pada awal 1980-an, ada gagasan untuk membina jambatan yang menghubungkan kampungnya dengan Bandar Tak Bai di seberang sungai bagi kemudahan perjalanan penduduk tempatan. Beliau lalu menghubungi agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab.

Kalaulah jambatan ini dapat dibina, tentu akan mendatangkan pelbagai manfaat bagi penduduk tempatan. Misalnya, mereka dapat menjual barangan yang dihasilkan dari kampung di pasar Tak Bai. Kanak-kanak juga tidak perlu menaiki perahu untuk ke sekolah, dan dapat mengurangkan risiko kejadian yang tidak diingini seperti mati lemas.

Ketua Kampung Wirun mengadakan mesyuarat dengan penduduk tempatan tentang pembinaan jambatan tersebut. Gagsan beliau disambut dengan baik oleh mereka kerana pembinaan jambatan dapat membawa perubahan yang positif dalam komuniti Pulau Panjang.

Namun, masa berlalu berbulan-bulan dan bertahun-tahun tanpa ada sebarang berita tentang kemajuan projek pembinaan jambatan daripada kerajaan wilayah yang bertanggungjawab atas projek ini. Maka seorang penduduk kmapung berkata, “Adakah kita perlu menunggu seratus tahun sebelum pembinaan jambatan?” dan daripada ungkapan inilah nama jambatan pun diambil, iaitu Jambatan Penantian Seratus Tahun (Saphaan Khoi Roi Pii dalam bahasa Thai)

Pada 1984, cita-cita penduduk Pulau Panjang pun menjadi kenyataan, setelah projek pembinaan jambatan diumumkan secara rasmi dan akhirnya jambatan kayu yang menghubungkan Pulau Panjang dan Bandar Tak Bai pun siap dibina. Jambatan ini digunakan selama lebih 20 tahun sehingga 2004. Setelah digunakan selama 20 tahun, jambatan tersebut pun sudah usang, dan tidak dapat digunakan untuk laluan motosikal. Oleh itu para penduduk terpaksa berjalan kaki, dan tidak ada sebarang inisiatif untuk memperbaiki jambatan tersebut.

Masa berlalu 20 tahun setelah pembinaan jambatan, dan pada bulan Ogos 2004, terjadilah peristiwa pembubaran demonstrasi di Tak Bai. Setelah kejadian tersebut, pihak Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (Southern Border Provinces Administrative Centre, SBPAC atau dikenali sebagai Sor Or Bor Tor dalam bahasa Thai) membina jambatan baru dengan simen yang mengiringi jambatan kayu lama seakan-akan untuk mengubati hati penduduk tempatan yang mendapat kesan buruk daripada peristiwa tersebut.

Kisah di sebalik Jambatan Penantian Seratus Tahun Jambatan Penantian Seratus Tahun

menghubungkan bandar Tak Bai dan Pulau Panjang yang berjauhan kira-kira 3 kilometer. Pulau ini berhampiran dengan laut, mempunyai pantai pasir yang suasananya aman damai, dan terdapat deretan pokok kelapa yang indah. .Jambatan Penantian Seratus Tahun ini panjangnya 345 meter, yang asalnya sebuah jambatan kayu, dan kini ada satu lari laluan jambatan yang dibuat daripada simen yang mengiringi jambatan lama. Jambatan ini berfungsi sebagai laluan utama bagi para penduduk di Kampung Pulau Panjang.

Penduduk Pulau Panjang tidak terlibat dalam Peristiwa Takbai, tetapi turut terkena dampaknya

Maslam Salaemae, imam masjid di Kampung Pulau Panjang menyatakan dengan tegas bahawa “Penduduk Pulau Panjang tidak ada kaitan sama sekali dengan kejadian demonstrasi yang terjadi pada 25 Oktober 2004 itu. Tetapi mereka hanya pergi melihat kejadian tersebut sahaja kerana peristiwa tersebut berlaku di seberang sungai. Namun mereka yang pergi melihat kejadian pun turut dituduh sebagai terlibat dalam demonstrasi berkenaan, hanya kerana komuniti kami berhampiran dengan tempata kejadian sahaja.”

“Kejadian dahsyat ini menyebabkan rasa curiga di hati penduduk kampung ini, lalu mereka pun pergi tengok apa yang terjadi di sana. Tetapi akibatnya 6 orang penduduk Pulau Panjang ditangkap (dalam kejadian tersebut, lebih daripada 1,300 orang penduduk tempatan ditangkap oleh pihak berkuasa, termasuk juga orang yang tidak terlibat dalam demonstrasi tetapi bersinggah di tempat kejadian untuk melihat apa yang terjadi di sana – penterjemah). Mujurlah tiada siapa yang mati. Tetapi saya ingin tegaskan bahawa orang Pulau Panjang tidak ada kena mengena dengan demonstrasi sama sekali”, ujar Maslam.

Ingatan Sulkarnain ketika berumur 3 tahun pada 17 tahun yang lalu dan dampak negatif terhadap penduduk Pulau Panjang

Sulkarnain Salaemae, ketua pemuda Pulau Panjang bertugas sebagai guru tadika di Chehe (di wilayah sempadan selatan atau di Patani, ‘tadika’ bukan bermaksud taman didikan untuk kanak-kanak prasekolah, tetapi sekolah agama yang biasanya didirikan dalam pekarangan masjid yang mengajar asas fardu ain kepada kanak-kanak sekolah rendah dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar – penterjemah), anggota Pusat Keadilan Daerah Tak Bai dan juga jurufoto bebas. Beliau berkata,

“Pada 17 tahun yang lalu, saya berumur 3 tahun sahaja. Tetapi saya masih ingat kejadian itu dengan jelas. Walaupun saya masih kecil pada ketika itu, ingatan peristiwa itu masih jelas sehingga hari ini.” .“Pada ketika itu, saya sedang makan nasi sambil menonton televisyen di rumah. Tiba-tiba peluru sesat dari arah Balai Polis Tak Bai memasuki jendela rumah dan dan hampir terkena peti televisyen itu.”

Maslam, imam di masid Pulau Panjang juga menjelaskan, “Pada hari kejadian itu peluru sesat dari arah Balai Polis Tak Bai juga terkena pada kaki seorang penduduk sehingga beliau cedera parah dan akhirnya mengalami kecacatan. Walaupun beliau dibayar wang ganti rugi daripada kerajaan, tetapi adakah wang itu berbaloi dengan kecacatan yang terpaksa ditanggung sepanjang hidup? Lubang besar besar di kaki beliau boleh dilihat dengan jelas.” .“Rumah-ruman warga kampung juga terkena peluru, dan kesannya boleh dilihat pada dindingnya. Ini juga akibat pembubaran demonstrasi secara paksa pada hari itu”, jelas beliau.

Polis melepaskan tembakan ke udara, mengepung penduduk Pulau Panjang .

Tambah ketua pemuda Pulau Panjang, “setelah peristiwa di depan balai polis itu, para pegawai polis pula melintas Jambatan Penantian 100 Tahun untuk mendatangi Pulau Panjang. Di penghujung jambatan, para pegawai berkenaan melepaskan tembakan ke udara dan menyuruh penduduk kapmung keluar dari rumah serta berhimpun di sana.”

“Keluarga saya pun terpaksalah keluar dari rumah. Saya berdiri di belakang pokok kelapa ini. Saya menangis, badan terketar dengan ketakutan, kerana para pegawai lengkap dengan senjata api, menengking dan mengherdik bagaikan mengugur orang-orang kampung dengan suara yang sangat ganas.”

“Kemudian ibu bapa saya mendakap saya, dan saya terus pengsang. Saya ingat setakat itu sahaja. Apabila saya sedar diri, saya sudah terlantar di rumah saya sendiri.”

Maslan pula menjelaskan, “Orang-orang kampung terkejut kerana kedengaran banyak bunyi tembakan dalam masa yang agak lama. Tambahan pula peluru sesat dari seberang sana pun sampai ke kampung. Oleh itu orang-orang kampung berlari untuk mencari tempat berlindung.”

“Semasa kejadia itu berlalu, polis meyerbu masuk ke Pulau Panjang, ada yang berjalan kaki melintas jambatan dan ada yang menaiki kapal. Mereka mengepung kampung kami untuk mencari orang yang terlibat dalam kejadian. Mujurlah tiada siapa yang ditangkap dalam operasi pengepungan itu.”

6tahun berlalu dan keluarga saya masih dicurigai

Sulkalnain mengisahkan, “Enam tahun setelah kejadian, pada ketika saya di darjah 3 dan berumur 9 tahun, terjadi satu insiden bom yang mencederakan seorang pegawai di Patani Sadet di Daerah Tak Bai. Tidak lama setelah kejadian itu, pasukan Komando pun menggepung rumah saya.”

“Pada ketika itu saya sedang tidur di bilik saya sendiri. Apabila terjada, saya terlihat 5-6 laras senapang yang dipegang oleh para pegawai. Mereka suruh saya bangun untuk bertanya di manakah ayah saya. Mereka memburu ayah saya, kerana mereka mencurigai bahawa ayah saya ada kaitan dengan insiden bom tersebut. Adegan itu saya masih ingat dengan jelas kerana sejak lahir lagi, saya tidak pernah diacukan senapang begini.”

Bapa Sulkarnain berkata, “Biasalah bagi seorang pemimpin yang mula-mula dicurigai oleh kerajaan. Jika ada sesuatu yang tidak diingini berlaku di kawasan ini, orang pertama yang dipanggil oleh pegawai keselamatan untuk memberikan maklumat ialah pemimpin komuniti. Tetapi tiada seorang pun pemimpin yang mengajak orang kampung untuk berbuat jahat. Kami hanya memikirkan soal keselamatan penduduk kampung sahaja.”

Apa yang berlaku atas para penduduk Pulau Panjang tidak pernah diceritakan dan diketahui oleh orang luar, sedangkan pada hari peristiwa Tak Bai, ada juga penduduk Pulau Panjang yang ditangkap, rumah-rumahnya mengalami kerosakan akibat peluru sesat, dan ada yang menjadi cacat. Tetapi ganti rugi yang diberikan oleh kerajaan hanyalah saluran jambatan baru yang mengiringi jambatan kayu lama yang sudah pun usnag dan tidak dapat digunakan lagi. Inilah kisah disebalik komuniti Pulau Panjang, Jambatan Penantian Seratus Tahun dan peristiwa berdarah di Tak Bai.