Pameran “Stop Torture”

Diterjemah oleh: Shintaro Hara

Seniman yang berkain sarung dan tidak berbaju, pinggangnya dililit dengan kain lepas, tangannya diikat di belakang dan kepalanya dibalut dengan beg plastik hitam, bagaikan tahanan yang menanti saat penyeksaan oleh pegawai keselamatan, berdiri di hadapan para pengunjung pameran. Di antara mereka dan seniman berkenaan, berpuluh-puluh begi plastik berisi cat biru diletakkan di atas tanah. Para pengunjung pameran dipersilakan untuk memetik beg plastik tersebut, lalu melemparkan kepada seniman. Ada yang berani berbuat demikian, tetapi tidak kurang juga yang mungkin tidak sampai hati.

Ini adalah adegan daripada pertunjukan kesenian yang dipanggil “performance art (seni laku)” dalam pameran yang dinamakan “Stop Torture” yang melambangkan penahanan dan penyeksaan yang sering berlaku di Patani di selatan Thailand. Bagaimana agaknya perasaan yang timbul dalam para pengunjung yang melemparkan beg plastik berisi cat biru, tidak ada siapa yang tahu. Mungkin ada yang berseronok melemparkan beg plastik berisi cat (tidak dapat dinafikan bahawa perbuatan tersebut ada unsur ‘permainan’), dan ada pula yang tidak berani untuk berbuat demikian. Mungkin juga ada yang mahu melarang atau menyekat perbuatan begitu, tetapi tidak berdaya untuk melakukan apa-apa. Pelbagai perasaan inilah yhang mahu dibangkitkan oleh seniman tersebut.

Seniman ini dikenali sebagai Ajarn Che, atau nama sebenarnya Penolong Profesor Jeh-abdulloh Jehsorhoh, pensyarah Fakulti Kesenian, Universiti Prince of Songkhla, Kampus Pattani. Belaiu juga mendirikan galerinya sendiri yang bernama Patnai Art Space.

“Dalam pameran ini, sebanyak 16 buah karya seni dipaparkan. Melalui pameran ini, kami harap semua orang memberikan perhatian kepada isu penyeksaan. Penyeksaan memang ada di mana-mana sahaja, termasuk juga di Thailand, terutamanya di wilayah sempadan selatan yang kita diami. Penyeksaan adalah pelanggaran hak asasi dan kebebasan manusia. Oleh itu, kami anggap pemeran ini sebagai satu perjuangan untuk menghapuskan penyeksaan”, jelas Jeh-abdulloh.

Di tingkat dua bangunan galeri, kita akan melihat kerangka besi empat segi, dan di dalamnya ada patung seperti mausia. Karya ini bernama “Torture in Patani” oleh Muhammadtoha Hajiyusof, dikenali sebagai Toha, seorang seniman muda yang berbadan besar. Berkenaan karya berkenaan, Toha berkata, beliau berminat terhadap seni ukir, dan dalam seni ukir soal bahan sangat penting. Bahan yang digunakan perlu mampu menyampaikan makna, tafsiran dan konsep yang dimaksudkan oleh seniman.

Seniman: Muhammadtoha Hajiyusof
Nama karya: “Torture in Patani”

Muhammadtoha menggunakan kain palas, iaitu sejenis kain yang digunakan dalam kehidupan seharian ornag Patani dan batang besi sebagai bahan karyana. Kain palas dijahit dan diisi dengan kapok sehingga menyerupai badan seorang manusia. Lalu badan manusia yang dibuat daripada kain palas dan kapui itu pula ditembusi oleh batang-batang besi. Seniman ingin menunjukkan perbezaan antara benda keras dan benda lembut. Apabila tubuh manusia ditembusi oleh benda kerans, tentunya ada kesakitan, dan lebih-lebih lagi melukai jiwanya juga. “Luka di badan mungkin hilang suatu hari nanti, tetapi kesakitan di jiwa pula tidak akan hilang, dan orang yang diseksa akan menderita sehingga mati”, jelas Toha.

Seniman: Korakot Sangnoi
Nama karya: “Under Tai”

Apabila pengunjung pameran berpaling daripada karya Toha, di dinding hujung sekali tergantung sebuah karya seni atas kanvas yang bersaiz besar. Anda akan perhatikan kaki yang amat besar di atas. Ini hasil karya oleh Korn, or Korakot Sangnoi yang bernama “Under Tai (“Tai” ditulis dengan bahasa Thai yang bermaksud “ke bawah”). Karya di atas kanvas bersaiz besar ini dilukis dengan dakwat Cina dan cat akrilik, menggambarkan manusia yang berada di bawah sesuatu kuasa. Mereka berada di bawah kuasa seperti ini begitu lama sehingga biasa, dan tidak ada siapa yang berani bangkit dan mempersoalkan keadaan ini. Korn berkata, “karya seni ini menggambarkan ‘kuasa’ sebagai sesuatu yang tidak ada warna, kerana kuasa itu wujudnya tidak konkrit, tetapi hanya satu ciptaan yang manusia dipaksa untuk memikulnya. Oleh itu, kuasa akan berkembang daripada ilusi yang diciptakan oleh manusia sendiri. Karya ini bukan bertujuan untuk menceritakan sesuatu yang tidak benar atau palsu. Saya cuba mencerminkan kuasa sebagai sesuatu yang benar-benar wujud melalui keindahan dan isyarat. Jika anda melihat karya ini lama-lama, mungkin ada sesuatu yang timbul dalam hati anda.”

Satu lagi karya seni yang mencermiknan penyeksaan yang berlaku di wilayah sempadan selatan Thailand menggunakan burung merpati sebagai lambang. Karya ini bernama “Kesakitan di Patani”, diciptakan oleh seniman Muhammadsuriyee Masu, menzahirkan perasaan mangsa penyeksaan, kerana mereka terpaksa menjalankan kehidupan seharian dalam ketakutan, kecurigaan, dan kekhuatiran.

Seniman: Muhammadsuriyee Masu
Nama karya: Kesakitan di Patani

“Saya menggunakan burung merpati sebagai lambang untuk menggantikan orang tempatan, berlatarbelakangkan seni bina Melayu tradisional, dan dimasukkan dalam bungkusan, berserta dengan huruf-huruf yang menjelaskan cara-cara penyeksaan”, ujar Muhammadsuriyee.

Prakaidau Prueksakasemsuk, pegawai projek, Cross Cultural Foundation (CrCF) berkata, pameran kesenian “Stop Torture” di Patani Artspace ini merupakan salah satu aktiviti di bawah projek besar yang bernama “Safe in Custody Awareness Month”, iaitu sebuah kempen kesenian. CrCF bekerjasama dengan Persatuan Pencegahan Penyeksaan (APT) untuk mengadakan projek tersebut untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang penyeksaan dan perbuatan yang mencabuli maruah manusia dalam penahanan melalui kerja-kerja seni dan budaya.

Seniman: Sureena Chema
Nama karya: Doa

Selain pameran kesenian yang diadakan di Wilayah Pattani ini, masih dirancang aktiviti lain. Pada 18 November yang akan datang, seniman Tawan Wattuya akan mengadakan aktiviti tentang masalah sosial, politik dan tahanan politik. Selain itu, buku foto yang bertajuk “Gray Zone” oleh Yotthon Traiyot yang mengambil gambar di wilayah sempadan selatan akan dilancarkan. Hasil jualan buku ini akan disalurkan kepada para mangsa penyeksaan di daerah ini. Di bahagian utara pula, akan diadakan aktiviti yang bernama Safe House.

Seniman: Salwanee Hajisamae

*Pameran “Stop Torture” diadakan antara 5 November – 5 Disember 2021 di Patani Artspace, Mukim Donrak, Daerah Nongchik, Wilayah Pattani

Seniman: Isuwan Chalee

Link : ภาษาไทย https://www.the-motive.co/performance-art-stop-torture/